Yamaha baru-baru ini secara rasmi telah melancarkan model skuter terbaharu untuk pasaran Indonesia, yang dikenali dengan nama Yamaha NMAX Turbo 2024.
Melihat kepada namanya, timbul persoalan sama ada model skuter dengan enjin 155cc itu benar-benar dilengkapi dengan sistem penjana turbo yang berkuasa.
Yamaha NMAX Turbo sebenarnya tidak dilengkapi dengan sistem turbo. Sebaliknya model itu kini dilengkapi teknologi baharu iaitu Yamaha Electric CVT (YECVT).
Yamaha Electric CVT (YECVT) itu seterusnya digandingkan dengan dua pilihan mod tunggangan iaitu T Mode (Town Commuting) dan S Mode (Sport Touring).
Melalui S Mode, Yamaha NMAX Turbo mampu memecut dengan lebih pantas dan lebih responsif, sangat sesuai ketika menempuh perjalanan jarak jauh.
Selain itu, Yamaha NMAX Turbo juga dilengkapi teknologi Turbo Y-Shift dengan tiga tahap pecutan segera, bagaikan sistem penjana turbo yang sebenar.
Tiga tahap pecutan segera itu ialah Low, Medium dan High. Penunggang boleh memanfaatkan ciri tersebut untuk memecut dengan lebih pantas mengikut situasi tertentu.
Contohnya ketika hendak memotong kenderaan lain di hadapan, ketika melewati jalan berbukit, atau untuk bergerak dengan lebih pantas selepas lampu isyarat bertukar hijau.
Di samping itu, Turbo Y-Shift juga membolehkan penunggang untuk merasai ‘engine brake’ ketika menuruni jalan berbukit dan ketika mengambil selekoh.
Walaupun tanpa sistem turbo sebenar, Yamaha NMAX Turbo kini terbukti mampu menawarkan sensasi tunggangan yang lebih mengujakan kepada pemiliknya.