Model skuter Yamaha Ego Avantiz 2024 pada hari ini telah diperkenalkan dengan tiga pilihan warna baharu, iaitu Sky Blue, Dark Blue dan Purple. Harga asasnya masih lagi sama seperti model tahun 2023, iaitu RM 5,998.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).
Selain kemaskini warna baharu, model tersebut tidak menerima sebarang perubahan atau naik taraf terkini di bahagian teknikal. Yamaha Ego Avantiz dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 125cc (single-cylinder, liquid-cooled, SOHC), dan dipadankan dengan transmisi automatik.
Enjin yang patuh piawaian emisi Euro 4 itu menawarkan kuasa maksimum 9.4hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 9.6Nm @ 5,500rpm. Spesifikasi standard lain termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, brek cakera depan, dan brek belakangnya jenis dram.
Saiz roda 70/90-14 (depan) dan 90/80-14 (belakang), tinggi tempat duduk 773 mm, dan tangki petrol 4.2 liter. Melengkapkan ciri-ciri menariknya ialah panel meter dengan penunjuk ECO, lampu depan LED, sistem kunci parking, dan ruang barangan 14 liter di bawah tempat duduk.