Voge Super Moped bakal dilancarkan di Malaysia pada Mei 2024?

Pada Disember 2023 yang lepas, sebuah unit ujian model Super Moped terbaharu telah ditemui di Stesen Minyak Shell Gopeng, Perak. Ketika itu menurut sumber, ianya dikatakan sebuah model terbaharu yang bakal dilancarkan oleh MForce Bike menggunakan jenama WMoto.

Namun kemudiannya pada bulan Januari 2024, menurut sumber terkini daripada rakan media Mekanika, model Super Moped itu sebenarnya akan dilancarkan di bawah jenama baharu Voge yang dimiliki oleh Loncin, dan akan diedarkan secara eksklusif di Malaysia oleh MForce Bike.

Dikatakan Super Moped itu direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh Voge, namun dengan reka bentuk yang telah ditetapkan oleh MForce Bike. Pelancarannya dikatakan bakal berlangsung pada bulan Mei 2024 akan datang, mungkin di Malaysia Autoshow 2024 (22 – 26 Mei 2024).

Selepas pelancarannya, pihak MForce Bike dikatakan bakal melancarkan pasukan perlumbaan Cub Prix bagi kategori CP150, dengan menggunakan model Voge Super Moped itu. Mungkin dengan cara itu, kualiti, ketahanan dan prestasi model terbaharu itu akan benar-benar teruji.