Sebuah lagi model skuter terbaharu bakal dilancarkan di pasaran Malaysia. Menurut sumber, model tersebut ialah QJ Motor Fort 350 2024, dan ianya bakal dilancarkan nanti bertempat di acara permotoran Malaysia Autoshow 2024, di MAEPS, Serdang, Selangor (22 – 26 Mei 2024).
Di pasaran Malaysia, jenama QJ Motor dari China ini diedarkan secara eksklusif oleh syarikat tempatan iaitu MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Oleh itu dijangkakan harga jualan asasnya nanti akan ditawarkan pada harga yang berpatutan, agar ianya mampu bersaing dengan model lain.
Untuk makluman awal berdasarkan model yang ditawarkan di China, QJ Motor Fort 350 2024 dilengkapi enjin bersesaran 350cc (SOHC, 4-valve, liquid-cooled) dengan sistem transmisi CVT. Keluaran kuasanya 33.78hp (25.2kW) @ 7,500rpm dengan tork setinggi 35.2Nm @ 6,000rpm.
Spesifikasi lain pada model skuter yang bergaya dan sporty itu adalah seperti tangki bahan api 14 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, sepasang brek cakera depan, saiz roda 120/70-R15 (depan) dan 150/70-R14 (belakang), dan tinggi tempat duduk 775 mm.
QJ Motor Fort 350 seterusnya dilengkapi skrin penghadang angin boleh laras elektrik, ABS Dual Channel, sistem penghidup keyless dengan kad tanpa wayar yang menggunakan teknologi NFC, sistem lampu LED, panel TFT 7.0 inci dengan sambungan Bluetooth, dan port pengecas USB.
Turut tersedia ialah sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan juga kamera ‘dashcam’ pada bahagian hadapannya. Untuk kemudahan menyimpan barang-barang peribadi, terdapat ruang di bahagian depan (glove box), di samping ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk.