Pada bulan Disember 2023 yang lepas, Honda Grom 2024 yang kini berwajah baharu dengan rasminya diperkenalkan di pasaran Thailand. Kini model tersebut diperkenalkan pula di pasaran Jepun, dengan dua pilihan warna menarik iaitu Pearl Horizon White dan Matte Gunpowder Black Metallic. Harga jualannya pula ialah sebanyak 390,500 Yen, bersamaan RM 12,368.31.
Untuk pasaran Jepun, Honda Grom 2024 tidak didatangkan dengan undercowl baharu di bawah enjinnya. Sebaliknya undercowl tersebut ditawarkan sebagai aksesori asli tambahan, bersama-sama knuckle visor, meter visor, rear carrier, saddle bag, seat bag, dan soket pengecas USB jenis Type-C. Spesifikasi teknikal lain pula kekal sama seperti mana Honda Grom 2023.
Honda Grom 2024 dilengkapi enjin 123.9cc (air-cooled, SOHC, 2-valve) dengan kotak gear lima kelajuan. Enjin itu menjana 10PS @ 7,250rpm dengan tork 11Nm @ 6,000rpm. Ciri-ciri menarik lain termasuklah fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS 1-Channel, tangki bahan api 6.0 liter, dan tayar berukuran 120/70-12 dan 130/70-12.
Model cilik tersebut seterusnya dilengkapi lampu depan dan belakang LED, panel instrumen digital pelbagai informasi dengan paparan Gear Indicator dan Shift Light, sepasang rim roda (5-spoke aluminum cast wheels) yang sporty, tinggi tempat duduk 761 mm, dan berat 103 kg. Untuk pasaran Malaysia, diharapkan model ini akan dilancarkan semula pada masa akan datang.