CFMOTO 450SR S 2024 tiba di pasaran Eropah, harga GBP 6,499.00

Pada tahun lepas, model sport bike terbaharu CFMOTO 450SR S dengan rasminya dilancarkan di pasaran China. Kini untuk tahun 2024, model tersebut telah pun dilancarkan di pasaran Eropah, antaranya termasuklah di pasaran UK. Untuk pasaran UK, harga jualan yang ditawarkan ialah sebanyak GBP 6,499.00, bersamaan nilai RM 39,384.63 mengikut kadar semasa.

Berbanding model standard CFMOTO 450SR yang turut ditawarkan di pasaran Malaysia sejak tahun lepas, CFMOTO 450SR S tampil dengan lengan ayun belakang jenis sebelah yang sporty, sistem ekzos rekaan baharu yang lebih pendek, dan fairing pada bahagian sisi dan bawah yang direka semula. Ini menjadikan penampilan keseluruhannya kini lebih agresif dan menyerlah.

Spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi CFMOTO 450SR S 2024 di pasaran Eropah adalah sama dengan model standard CFMOTO 450SR, antaranya enjin bersesaran 449.5cc (2-cylinder inline, liquid-cooled, DOHC) dengan kuasa maksimum 46.24hp @ 9,250rpm dan tork maksimum 39.3Nm @ 7,750rpm. Sistem transmisinya manual enam kelajuan dengan slipper clutch.

Selain itu ianya turut dilengkapi fork depan jenis terbalik, kaliper brek depan Brembo, ABS Dual Channel, tayar bersaiz 110/70-17 dan 150/60-17, panel meter 5.0 inci TFT dengan modul internet 4G + 6D Sensor, port pengecas telefon Type C dan Type A, tangki bahan api 14 liter, dan berat 179 kg (curb weight). Dua pilihan warnanya ialah Zircon Black dan Tundra Grey.