Yamaha XSR700 2024 ditawarkan di pasaran USA, harga $8,899.00

Untuk pasaran USA, salah sebuah model Sport Heritage yang ditawarkan pada ketika ini ialah Yamaha XSR700 2024. Model berkenaan hanya tersedia dengan satu pilihan warna sahaja, iaitu berasaskan skim warna hitam dan emas yang menawan. Harga jualannya ditetapkan sebanyak $8,899.00, bersamaan nilai RM 42,652.91 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

Yamaha XSR700 2024 merupakan sebuah model naked bergaya klasik moden yang sporty dan berprestasi. Enjinnya 689cc (CP2, two cylinder, 4-valves, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Merujuk kepada model yang sama di pasaran Eropah, kuasa maksimumnya mencapai 73.4PS @ 8750rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm.

Model seberat 188 kg (wet weight) itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 14 liter. Ciri-ciri menarik lain pada model tersebut antaranya seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock (link suspension, swingarm), sistem brek cakera depan (298 mm) dan belakang (245 mm) dengan ABS, tinggi tempat duduk 835 mm, dan jarak kelegaan tanah minimum 140 mm.

Seterusnya bagi melengkapkan lagi spesifikasi Yamaha XSR700 2024 ini, ianya turut dilengkapi panel meter digital berbentuk bulat dan klasik, sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu depan berbentuk bulat, dan sepasang tayar Michelin Road 5 bersaiz 120/70-17 dan 180/55-17. Untuk pasaran Malaysia, sehingga kini ianya belum dilancarkan secara rasmi oleh HLYM.