QJ Motor Malaysia siarkan imej ‘teaser’ model skuter terbaharu, adakah ianya QJ Motor LTR 125?

QJ Motor Malaysia baru-baru ini telah menyiarkan sekeping imej ‘teaser’ sebuah model skuter terbaharu, melalui laman Facebook rasmi di QJ Motor – Malaysia. Setakat ini belum dapat dipastikan dengan jelas model apakah yang bakal dilancarkan itu. Namun sekali pandang, ianya mungkin model skuter QJ Motor LTR 125 yang ketika ini turut ditawarkan di pasaran Eropah.

Tarikh pelancarannya pula setakat ini belum diumumkan. Untuk makluman, pada tarikh 20 Mac 2024 akan datang, MForce Bike bakal menganjurkan majlis iftar bersama-sama pihak media, dan pada masa yang sama akan turut melancarkan model baharu. Mungkin model yang akan dilancarkan itu ialah SYM Maxsym TL 508, SYM Husky ADV 150, dan QJ Motor LTR 125 ini.

Sedikit maklumat mengenai model QJ Motor LTR 125. Ianya dilengkapi enjin bersesaran 125cc (liquid-cooled, SOHC) dengan transmisi automatik CVT. Kuasa maksimumnya 10.8kW (14.48hp) @ 8,750rpm dengan tork maksimum 12Nm @ 8,250rpm. Kapasiti tangki bahan apinya 6.0 liter. Saiz tayar depan dan belakang 100/90-12 dan 110/90-12, dan tinggi tempat duduknya 760 mm.

Ciri-ciri menariknya yang lain seperti sistem Start & Stop, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan topi keledar. Untuk maklumat lebih tepat mengenai model apakah yang bakal dilancarkan nanti, sama-samalah kita tunggu pelancarannya tidak lama lagi.