Honda RS-X 2024 terima warna baharu Mat Ion Blue Metallic, harga asas RM 9,798.00

Pada bulan November 2023 yang lepas, Boon Siew Honda telah memperkenalkan Honda RS-X 2024, dengan dua pilihan warna baharu yang menawan dan sporty iaitu Radiate Gray Metallic dan Trico White Edition. Kemudiannya pada bulan Januari 2024, Honda RS-X 2024 sekali lagi diperkenalkan dengan empat pilihan warna baharu.

Keempat-empat pilihan warna baharu itu ialah Mat Charcoal Gray Metallic (Gold), Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue). Pada hari ini pula, Honda RS-X 2024 sekali lagi menerima satu pilihan warna baharu iaitu Mat Ion Blue Metallic. Harga jualan asasnya pula ditawarkan sebanyak RM 9,798.00.

Keseluruhannya berdasarkan paparan di dalam laman sesawang rasmi Boon Siew Honda, Honda RS-X ketika ini ditawarkan dengan 11 pilihan warna kesemuanya, termasuklah tiga warna daripada model Honda RS-X 2023 dan satu skim warna daripada Honda RS-X Repsol Edition 2023. Jadi terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih warna yang mana satu.

Namun sayangnya, apa yang diharapkan oleh peminat Honda RS-X pada ketika ini ialah pelancaran model versi baharu yang lebih sporty, sama seperti Honda Winner X 2024 yang dilancarkan di pasaran Filipina baru-baru ini. Mungkin Boon Siew Honda akan melancarkan model versi baharu itu pada tahun depan, sebagai Honda RS-X 2025.