EMOS memperkenalkan warna baharu untuk Kawasaki Z900 2024 dan Kawasaki Z900 SE 2024

Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) kini rasmi memperkenalkan skim warna baharu untuk dua model naked edarannya iaitu Kawasaki Z900 2024 dan Kawasaki Z900 SE 2024. Bagi model Z900, skim warna baharunya untuk musim 2024 ialah Candy Persimmon Red / Ebony.

Bagi model Z900 SE pula, skim warna baharunya untuk musim 2024 ialah Metallic Spark Black / Metallic Matte Graphenesteel Gray. Tampil menyerlah, kedua-dua warna baharu yang diperkenalkan itu masing-masing didatangkan dengan kerangka bewarna merah dan hijau.

Kawasaki Z900 2024 ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 44,900.00, manakala untuk Kawasaki Z900 SE 2024, harga asasnya ialah sebanyak RM 55,900.00. Harga yang ditawarkan itu adalah sama seperti mana harga Kawasaki Z900 2023 dan Kawasaki Z900 SE 2023.

Selain pengenalan warna baharu, aspek spesifikasi untuk kedua-dua model naked tersebut tiada sebarang perubahan. Z900 dan Z900 SE dikuasakan enjin 948cc (4-Stroke In-Line Four, DOHC, 16 Valve, Liquid Cooled) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menghasilkan prestasi 125PS @ 9,500rpm dengan tork maksimum 98.6Nm @ 7,700rpm.

Spesifikasi lain termasuklah Riding Modes (Sport, Road, Rain) atau talaan manual Rider dengan integrasi KTRC (Kawasaki Traction Control) dan Power Modes, panel instrumen TFT 4.3 inci dengan teknologi sambungan, tangki petrol 17 liter, dan sistem brek ABS Dual Channel.

Sementara itu bagi model Z900 SE, ianya tampil dengan beberapa spesifikasi premium seperti brek cakera depan Brembo, fork depan Showa USD 41 mm dengan ciri boleh laras sepenuhnya berwarna emas, dan sistem suspensi belakang Öhlins S46 yang didatangkan dengan kelengkapan ‘remote preload adjuster’ untuk kemudahan pelarasan yang lebih pantas.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Z900 dan Z900 SE untuk pasaran tempatan ini merupakan unit CKD yang dipasang oleh Modenas di kilang mereka, yang terletak di Gurun, Kedah. Kedua-dua model berkenaan kini boleh didapati di bilik pameran Kawasaki Malaysia yang terpilih.

Galeri : Kawasaki Z900 2024

Galeri : Kawasaki Z900 SE 2024