Kymco Downtown 350GT 2024 diperkenalkan di EICMA 2023

Selain daripada model Kymco Skytown 150 2024, antara model lain yang diperkenalkan oleh Kymco di EICMA 2023 yang lepas ialah Kymco Downtown 350GT 2024. Model tersebut tampil dengan reka bentuk yang menawan dan moden, serta dilengkapi enjin bersesaran 321cc.

Enjin satu silinder dengan empat injap dan sistem penyejukan cecair itu menghasilkan kuasa maksimum 28.3hp dengan tork maksimum 30Nm. Tangki bahan apinya berkapasiti 12.5 liter, dan ianya dikatakan mampu menawarkan tahap ekonomi dengan kecekapan sehingga 26 km/l.

Spesifikasi lengkap lain pada Kymco Downtown 350GT 2024 ini antaranya ialah fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, tayar bersaiz 120/80-R14 (depan) dan 150/70-R13 (belakang), dan tinggi pelana 775 mm.

Model skuter terbaharu itu seterusnya dilengkapi panel meter TFT dengan pelbagai maklumat, sistem lampu LED, soket USB untuk mengecas telefon bimbit, Cruise Control, TPMS (Sistem Pemantauan Tekanan Tayar), dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduknya.

Kymco Downtown 350GT bakal berada di pasaran global bermula pada tahun 2024. Untuk pasaran Malaysia, pastinya menarik jika ianya turut dilancarkan oleh Modenas, bagi memberikan saingan kepada model-model lain, seperti Honda ADV350 yang bakal dilancarkan nanti.