Yamaha Y16ZR ABS 2024 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 11,398.00

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kini rasmi melancarkan model terbaharu Yamaha Y16ZR ABS 2024 untuk pasaran Malaysia. Model tersebut ditawarkan dengan harga asas RM 11,398.00. Tiga pilihan warna menariknya ialah Violet Knight, Ocean Neon dan Mag Grey.

Berbanding model terdahulu Yamaha Y16ZR 2023, Yamaha Y16ZR ABS 2024 kini tampil lebih sporty dan agresif. Ini kerana model tersebut kini didatangkan dengan visor dan fairing depan rekaan baharu. Namun perubahan paling besar sudah tentulah di bahagian sistem breknya.

Yamaha Y16ZR ABS 2024 kini telah dilengkapi sistem brek ABS Single Channel, bersama-sama cakera brek hadapan yang kini bersaiz lebih besar. Dengan sistem brek ABS, tahap keselamatan dan pengendaliannya kini lebih dinamik dan lebih meyakinkan dalam setiap tunggangan.

Spesifikasi lain masih sama seperti model generasi sebelumnya, termasuklah enjin bersesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled) dengan teknologi canggih VVA. Enjin itu digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.

Kuasa maksimum enjinnya mencapai 17.7hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm. Spesifikasi menarik lain antaranya ialah tangki bahan api 5.4 liter, sistem kunci pintar, paparan panel meter digital dengan dasar gelap, dan juga lampu depan dan belakang LED.

Yamaha Y16ZR ABS 2024 seterusnya dilengkapi suis pemati enjin, suis lampu untuk memotong (passing light), tayar depan dan belakang bersaiz 90/80-R17 dan 120/70-R17, soket pengecas 12V DC, dan ketinggian tempat duduk 795 mm. Berat keseluruhannya pada angka 119 kg.

Dengan setiap pembeliannya, HLYM turut menawarkan kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Tempoh jaminannya adalah selama dua tahun atau 20,000 km jarak perjalanan. Ianya akan tiba di bilik pameran pengedar sah bermula akhir bulan Januari ini.

Di pasaran tempatan pada ketika ini, pelancaran Yamaha Y16ZR ABS 2024 telah memberikan lebih pilihan kepada para peminat yang mementingkan aspek keselamatan. Dua model moped lain yang turut dilengkapi dengan sistem brek ABS ialah SYM VF3i 185 dan Honda RS-X.