WMoto SM125i 2024 dilancarkan di Malaysia, harga RM 5,888.00

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada kelmarin rasmi melancarkan sebuah model kapcai terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu WMoto SM125i 2024. Tampil sporty, tiga pilihan warna yang ditawarkan oleh model itu ialah Luminous Blue, Blazing Red dan Radiant Yellow.

Harga jualan asasnya pula berpatutan, ditetapkan sebanyak RM 5,888.00 sahaja, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Tempoh jaminan yang ditawarkan untuk model tersebut adalah selama dua tahun atau 20,000 km perjalanan, berdasarkan yang mana tiba dahulu.

WMoto SM125i 2024 dilengkapi enjin bersesaran 123.7cc (single cylinder, 4-stroke, SOHC, air-cooled) dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Enjin itu dipadankan kotak gear empat kelajuan, seterusnya menghasilkan 7.8hp @ 8,000rpm dengan tork 8.5Nm @ 6,000rpm.

Spesifikasi lengkapnya termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek depan cakera, brek belakang dram, sistem kunci anti kecurian, panel meter digital berwarna, port pengecas USB, sistem lampu LED sepenuhnya, dan tangki bahan api berkapasiti 4.0 liter.

Turut tersedia ialah ruang simpanan di bawah tempat duduk yang mencukupi untuk menyimpan barangan peribadi. Dengan setiap pembelian WMoto 125i 2024 ini, para pembeli juga ditawarkan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di atas talian oleh MForce Bike.