Honda ADV350 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada pertengahan tahun 2024?

Modenas baru-baru ini secara rasmi melancarkan model skuter maxi terbaharu Kymco AK550 Premium 2024. Namun penerimaan model tersebut di kalangan peminat skuter tempatan boleh dikatakan kurang memberangsangkan, kerana harga asasnya yang mencecah RM 65,600.00. Harga yang ditetapkan itu dikatakan agak tinggi untuk bersaing dengan model-model lain.

Ramai peminat model tersebut yang merasa kecewa, malah tanpa berselindung mengatakan yang mereka lebih sanggup membeli SYM Maxsym TL500, Honda X-ADV atau Yamaha TMAX 560 Tech Max. Walaupun begitu, ramai juga peminat tegar Kymco AK550 Premium yang telah sekian lama menantikan pelancarannya, tidak terkesan dengan harga yang ditawarkan itu.

Oleh itu bagi megurangkan rasa kecewa peminat selepas pelancaran Kymco AK550 Premium, mungkin berita mengenai pelancaran Honda ADV350 untuk pasaran Malaysia ini boleh menjadi penawarnya. Menurut rakan media Paultan.org, mereka baru-baru ini telah menerima informasi terkini daripada sumber dalaman Boon Siew Honda, mengenai pelancaran Honda ADV350.

Model skuter adventure yang dinanti-nantikan itu dikhabarkan bakal dilancarkan pada pertengahan tahun ini, atau mungkin lebih awal lagi. Menurut sumber itu lagi, unit yang akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia merupakan unit CBU yang diimport dari Jepun. Harganya pula akan berada di atas RM 30,000.00, bersesuaian dengan spesikasi yang ditawarkannya.

Setakat ini Honda ADV350 2024 telah dilancarkan di pasaran Eropah, begitu juga di pasaran Thailand. Malah pasaran Singapura juga telah menerima kehadiran model tersebut pada tahun lepas. Jadi untuk peminat Honda ADV350, masih ada masa untuk menabung. Untuk pemegang lesen kelas B2 pula, kini adalah masa yang sesuai untuk menaik taraf lesen ke kelas B Full.

Imbas kembali spesifikasinya, Honda ADV350 dilengkapi enjin 330cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4 valve, SOHC, single cylinder) dengan sistem transmisi automatik CVT. Enjin yang bertaraf Euro 5 itu menjana kuasa maksimum 28.83hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 31.5Nm @ 5,250rpm. Dengan setiap tangki penuh, model skuter tersebut dikatakan mampu pergi sejauh 340 km+.

Spesifikasi lengkapnya termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), fork depan USD 37 mm, sistem suspensi belakang berkembar (remote reservoir rear shocks), sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang), tangki bahan api 11.7 liter, tinggi tempat duduk 795 mm, dan berat penuhnya 186 kg (kerb weight).

Honda ADV350 seterusnya dilengkapi ciri-ciri menarik seperti sistem lampu LED, panel meter digital LCD dengan sistem sambungan Honda Smartphone Voice Control, skrin penghadang angin dengan dua tahap pelarasan, Smart Key, soket pengecas USB Type-C, sistem brek ESS (Emergency Stop Signal), serta ruang barangan seluas 48 liter di bawah tempat duduknya.