Pasaran Thailand baru-baru ini dengan rasminya telah menerima pelancaran Yamaha XMAX Tech MAX 2024. Model tersebut tampil dengan skim warna Magma Black, dan ianya merupakan varian baharu dengan spesifikasi lebih premium selepas Yamaha XMAX Connected 2023.
Salah satu spesifikasi menarik pada Yamaha XMAX Tech MAX 2024 ialah ianya dilengkapi dengan sistem suspensi belakang Ohlins Tech Max Limited Edition. Sistem suspensi itu boleh dilaraskan sepenuhnya, serta lengkap dengan ciri-ciri Rebound, Preload dan Compression.
Ciri-ciri menarik lain yang eksklusif pada Yamaha XMAX Tech MAX ialah Exclusive Tech MAX Special Seat, Tech MAX Hand Grips, Tech MAX Foot Plates, Tech MAX Cover Front Luggage, dan juga Tech MAX Emblem. Spesifikasi lain adalah sama dengan varian XMAX Connected.
Enjinnya mempunyai sesaran 292cc (4-stroke, Liquid-cooled, SOHC, 4-valves, Single cylinder) dan dipadankan dengan transmisi V-Belt Automatic. Enjin Blue Core yang bertaraf Euro 5 itu menjana kuasa maksimum 27.6hp @ 7,250rpm dengan tork maksimum 29Nm @ 5,750rpm.
Model tersebut seterusnya dilengkapi skrin TFT 4.2 inci dengan ciri sambungan Y-Connect dan fungsi navigasi Garmin, manakala di bahagian atasnya terletak skrin speedometer digital LCD bersaiz 3.2 inci yang berasingan khusus untuk paparan maklumat kelajuan dan sebagainya.
Melengkapkan Yamaha XMAX Tech MAX 2024 ialah skrin penghadang angin boleh laras, sistem lampu LED, Smart Key, Traction Control System (TCS), ruang storan dengan muatan dua buah helmet bermuka penuh, soket pengecas DC, ABS Dual Channel, dan tangki petrol 13 liter.
Untuk pasaran Thailand, harga yang ditawarkan untuk Yamaha XMAX Tech MAX 2024 ini ialah sebanyak THB 224,900.00, bersamaan RM 29,903.03 (kadar semasa). Sementara itu di pasaran Malaysia, Yamaha XMAX 250 2023 ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 23,998.00.