QJ Motor ATR160 2024 dilancarkan di pasaran Filipina, harga RM 13,314.86

Pada awal tahun ini, QJ Motor di pasaran Filipina dengan rasminya melancarkan model skuter adventure terbaharu iaitu QJ Motor ATR160 2024. Model tersebut tampil dengan empat pilihan warna, manakala harga pengenalannya ialah sebanyak PHP 159,900.00 (RM 13,314.86).

Berbanding QJ Motor ATR150 yang dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia, QJ Motor ATR160 di pasaran Filipina dilengkapi enjin bersesaran 160cc. Namun kuasa dan tork daripada enjin itu didapati sama dengan model 150cc, iaitu 16hp @ 8,500rpm dan 15Nm @ 6,000rpm.

Spesifikasi lain adalah sama di antara kedua-dua model itu, termasuklah ABS Dual Channel dan Traction Control System (TCS). Kecuali panel meter untuk QJ Motor ATR160 adalah TFT. Mungkin panel meter pada ATR150 juga sebenarnya adalah jenis TFT dan bukannya LCD.

Dengan pelancaran QJ Motor ATR160 2024 di pasaran Filipina, adakah ini bermakna pasaran Malaysia juga akan menerima pelancaran model skuter adventure itu tidak lama lagi? Setakat ini belum ada sebarang pengesahan daripada pihak QJ Motor Malaysia mengenai perkara itu.