Pasaran India terima Honda Hornet 2.0 Repsol Edition 2023

Salah sebuah model motosikal yang ditawarkan di pasaran India ialah Honda Hornet 2.0 2023, yang dilancarkan pada bulan Ogos 2023 yang lalu. Kemudiannya pada bulan September tahun yang sama, model tersebut dilancarkan dengan warna baharu dalam versi Repsol Edition.

Menurut pengeluarnya, Honda Hornet 2.0 Repsol Edition 2023 hanya ditawarkan dalam jumlah terhad. Harganya pula ditetapkan sebanyak Rs. 1,40,000.00, bersamaan RM 7,850.39. Beralih ke bahagian spesifikasi, tiada sebarang naik taraf dan ianya sama seperti model standard.

Honda Hornet 2.0 Repsol Edition 2023 dilengkapi enjin 184.40cc (SI Engine, Air Cooled) dengan janaan 17hp @ 8,500rpm dan tork 15.9Nm @ 6,000rpm. Sistem transmisinya ialah lima kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 12 liter.

Spesifikasi lain ialah sistem lampu LED, panel meter digital, suis pemati enjin, fork depan USD berwarna emas, sistem brek cakera, ABS Single Channel, tayar bersaiz 110/70-17 dan 140/70-17, lampu kecemasan (hazard lights), dan juga penunjuk tongkat sisi (side stand indicator).