Kymco AK550 Premium 2024 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 65,600.00

Model skuter terbaharu Kymco AK550 Premium 2024 pada hari ini rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia. Tampil dengan dua pilihan warna Flat Brown dan Black, ianya ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 65,600.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Di pasaran tempatan, Modenas merupakan pengedar rasmi skuter buatan Kymco. Namun oleh kerana Kymco AK550 Premium ini merupakan produk CBU dan bukannya CKD, jadi harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak tinggi. Jika CKD, mungkin harganya sekitar hanya RM 55k.

Di bahagian spesifikasi, Kymco AK550 Premium ini dikuasakan enjin bersesaran 550.4cc (In-line twin-cylinder, 4-Stroke, DOHC, Liquid-cooled) dengan transmisi automatik CVT. Keluaran kuasa maksimumnya sebanyak 50.9hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 52Nm @ 6000rpm.

Antara ciri-ciri menarik pada model skuter berkenaan termasuklah Advanced Intelligent Braking System (Cornering ABS), sistem pendikit elektronik, sistem kawalan dan penghidup keyless, dua mod tunggangan Standard dan Rain, Traction Control, Cruise Control, pemanas genggaman tiga tahap, sistem sambungan Noodoe, tinggi tempat duduk 785 mm, dan ruang bagasi yang luas.

Kymco AK550 Premium turut dilengkapi sistem lampu LED, panel meter digital, tangki bahan api 14.5 liter, fork depan USD 41 mm, sistem brek cakera depan Brembo (4-piston calipers, dual 270 mm floating discs), dan sepasang tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 160/60-15 (belakang). Sebagai sebuah model skuter maxi bersaiz penuh, beratnya mencapai 238 kg (curb weight).

Di pasaran Malaysia pada ketika ini, Kymco AK550 Premium bakal bersaing dengan sebuah lagi model iaitu SYM Maxsym TL500, yang dilengkapi enjin 465cc dengan kuasa maksimum 40.2hp @ 6,750rpm dan tork 42.5Nm @ 6,250rpm. Harganya jualannya sebanyak RM 38k sahaja.