CFMOTO 1250TR-G 2024 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 88,888.00

CFMOTO Malaysia pada hari ini rasmi melancarkan model terbaharu CFMOTO 1250TR-G 2024. Model tersebut tampil dengan dua pilihan warna iaitu Nebula White dan Twilight Blue. Harga asasnya ialah sebanyak RM 88,888.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

CFMOTO 1250TR-G merupakan sebuah model grand tourer, dan dikuasakan enjin bersesaran 1,279cc (V-twin cylinder, liquid-cooled). Enjin dengan kapasiti terbesar daripada CFMOTO itu menjana kuasa maksimum 140hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 120Nm @ 7,000rpm.

Serba mewah, CFMOTO 1250TR-G menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik. Antaranya seperti panel instrumen TFT dengan Multi Media Interface (MMI) bersaiz 12.3 inci, yang memaparkan pelbagai maklumat yang diperlukan, sistem hiburan pintar, navigasi dan sambungan Bluetooth.

Kemudahan lain yang tersedia ialah Smart Key, sistem pendikit elektronik, tiga mod tunggangan (Sport, Comfort & Rain), skrin penghadang angin yang boleh dilaras dengan butang kawalan, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem bunyi berprestasi tinggi yang canggih, Up-down Quick Shifter, Hill Hold Control (HCC), Lane Assist Radar, dan sistem Cruise Control.

Sistem lampu kesemuanya jenis LED. Untuk jarak perjalanan lebih jauh, CFMOTO 1250TR-G dilengkapi tangki bahan api 22.7 liter, di samping kemudahan side box di kiri dan kanan dengan ciri keselamatan. Turut tersedia ialah dua port pengecas USB dengan port 12V jenis Type C.

Melengkapkan lagi spesifikasi CFMOTO 1250TR-G ialah fork depan USD 48 mm Marzocchi, suspensi belakang monoshock (preload adjustable), sistem brek Brembo dengan ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-17 dan 190/55-17, dan beratnya mencapai 304 kg. Tempoh jaminannya ditawarkan selama 2 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.

Menurut CFMOTO Malaysia, model grand tourer yang berkuasa dan berteknologi tinggi ini juga sesuai untuk kegunaan agensi penguatkuasa kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan sebagainya.