Boon Siew Honda baru-baru ini rasmi melancarkan Honda RS-X 2024, dengan empat pilihan warna terbaharu. Di samping menawarkan skim warna yang lebih sporty dan menawan, model tersebut bagaimanapun masih kekal dengan gaya rekaan dan penampilan versi terdahulu.
Perkara tersebut membuatkan ramai peminat model moped tersebut merasa kecewa. Ini kerana mereka mengharapkan Honda RS-X bagi model tahun 2024 akan ditawarkan dalam versi facelift terbaharu, seperti mana model Honda Winner X yang ketika ini dijual di pasaran Vietnam.
Setakat ini belum dapat dipastikan bilakah Honda RS-X versi facelift terbaharu akan dilancarkan di pasaran Malaysia. Jika pada tahun ini juga, mungkin ianya akan dilancarkan pada penghujung tahun, dalam suku ketiga 2024. Atau mungkin model itu hanya akan tiba pada tahun 2025.
Antara kelebihan yang akan ditawarkan oleh Honda RS-X versi facelift terbaharu ialah kemaskini baharu cover set, yang melibatkan bahagian dada, fairing sisi dan cowl di bahagian bawah enjin. Paling penting sekali ialah rekaan lampu signal depan baharu yang kini jenis terbina dalam.
Selain itu, panel meter digital juga akan menerima beberapa perubahan kecil baharu, di samping kehadiran sistem Honda Smart Key baharu yang pastinya akan mengujakan pemiliknya. Dua ciri baharu lain ialah port pengecas USB dan rantai jenis O-ring (seal chain) yang lebih lasak.
Tidak dilupakan ialah sistem ekzos dan muncung ekzos yang pernah menjadi kontroversi, kini tampil dengan gaya rekaan baharu yang lebih sporty, apabila sudutnya kini telah direndahkan. Paling terkini ialah ianya dijangkakan akan turut dilengkapi dengan teknologi slipper clutch.
Di pasaran Vietnam, Honda Winner X 2024 kini telah dilengkapi dengan teknologi slipper clutch. Teknologi itu akan mengelakkan tayar belakang dari terkunci ketika downshifting gear pada RPM tinggi, menjadikan tuil klac lebih ringan, seterusnya meningkatkan tahap kawalan motosikal.