Yamaha NVX 155 VVA 2024 diperkenalkan dengan kemaskini warna baharu di pasaran Vietnam

Model skuter Yamaha NVX 155 VVA 2024 dengan rasminya diperkenalkan di pasaran Vietnam, pada penghujung tahun 2023 yang lepas. Model tersebut kini menawarkan empat pilihan warna baharu yang lebih menawan, di samping warna Monster Edition yang dikemaskini semula.

Pasaran Vietnam sebelum ini telah menerima pelancaran Yamaha NVX 155 VVA bagi model tahun 2021, 2022 dan 2023. Bagi setiap model tersebut, yang berbeza hanyalah pilihan warna sahaja, sama seperti model tahun 2024. Spesifikasi teknikal kekal sama seperti sebelumnya.

Imbas kembali spesifikasi enjinnya, iaitu bersesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC, liquid cooled) dengan kelengkapan teknologi VVA (Variable Valve Actuation). Enjin itu menjana prestasi maksimum 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 13.9Nm @ 6,500rpm.

Yamaha NVX 155 VVA 2024 seterusnya menawarkan ciri-ciri menarik seperti sistem sambungan Y-Connect, Smart Key, sistem Stop & Start, port pengecas telefon bimbit, lampu depan LED, panel meter digital, tangki bahan api seluas 5.5 liter, dan brek depan cakera dengan ABS.

Untuk pasaran Vietnam, harga jualan yang ditawarkan untuk model skuter tersebut ialah  sebanyak 55,300,000 VND (RM 10,557.60), untuk keempat-empat pilihan warna baharu. Bagi versi Monster Edition pula, harga jualannya ialah sebanyak 56,000,000 VND (RM 10,691.24).