QJ Motor SRK 800 RR bakal beraksi di WorldSSP 2024

QJ Motor SRK 800 RR merupakan sebuah model terbaharu yang diperkenalkan di EICMA 2023, pada bulan November yang lepas. Menariknya ialah model tersebut kini telah disahkan bakal bersaing dalam acara perlumbaan Supersport World Championship (WorldSSP) 2024.

Berdasarkan senarai penyertaan rasmi yang dikeluarkan oleh WorldSBK, jentera perlumbaan itu akan ditunggang oleh pelumba Raffaele De Rosa, yang mewakili pasukan QJ Motor Factory Racing. Barisan pengeluar lain yang akan bersaing bersama-sama QJ Motor di dalam WorldSSP bagi musim 2024 ini ialah Yamaha, Honda, Kawasaki, Ducati, MV Agusta dan Triumph.

Bagi Yamaha, Honda dan Kawasaki, ketiga-tiga syarikat dari Jepun itu bakal beraksi dengan menggunakan jentera YZF-R6, CBR600RR dan ZX-6R. Ducati, MV Agusta dan Triumph pula masing-masing bersedia dengan jentera Panigale V2, F3 800 RR dan Street Triple RS 765.

QJ Motor SRK 800 RR bagi model standard dikuasakan enjin bersesaran 778cc (4-Cylinder, 16V DOHC, Liquid-Cooled) dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimumnya 100.5hp @ 10,000rpm dengan tork 78Nm @ 8,500rpm. Beratnya mencapai angka 207 kg (curb weight). Persoalannya ialah mampukah SRK 800 RR versi perlumbaan bakal mencipta suatu kejutan?