Voge SR2 ADV 2024 tampil sporty, sesuai untuk pasaran Malaysia

Bertempat di EICMA 2023, Voge telah mempamerkan sebuah model skuter adventure terbaharu iaitu Voge SR2 ADV 2024. Model berkenaan bakal ditawarkan dengan dua versi enjin iaitu sama ada 124.9cc (single cylinder, liquid-cooled) atau 174.1cc (single cylinder, liquid-cooled, 4V).

Bagi versi 125cc, kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai paras 11.4hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 11Nm @ 6,500rpm. Versi 175cc pula menawarkan jumlah kuasa maksimum yang lebih tinggi, pada angka 17.7hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 16.2Nm @ 6,500rpm.

Spesifikasi standard pada Voge SR2 ADV termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar dengan tabung gas, windshield dengan ciri pelarasan elektronik, sistem brek dengan ABS Dual Channel, tayar bersaiz 110/80-14 dan 130/70-13, dan tinggi tempat duduk 810 mm.

Model itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api 9.0 liter, sistem keyless, sistem Start & Stop, Traction Control, sistem lampu LED, pengecas USB, panel meter digital LCD, kamera dashcam di bahagian depan, ruang storan yang luas, serta berat 135 kg (125cc) dan 140 kg (175cc).

Sekali pandang, Voge SR2 ADV 2024 ini mempunyai penampilan mirip model Honda ADV160. Untuk pasaran Malaysia, model skuter adventure ini didapati sangat sesuai untuk dipasarkan, terutamanya bagi versi 175cc. Adakah model ini bakal dilancarkan di pasaran Malaysia kelak?