Modenas Kymco AK550 2024 bakal dilancarkan pada 12 Januari 2024, anggaran harga dijangkakan antara RM 50k – RM 60k

Model skuter terbaharu Modenas Kymco AK550 2024 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, pada tarikh 12 Januari 2024. Setakat ini pihak Modenas telah mengedarkan jemputan rasmi kepada pihak media, bagi menghadiri program pelancaran model tersebut.

Untuk anda yang berhasrat memilikinya, terdapat wakil pengedar Modenas yang telah membuka tempahan awal. Merujuk kepada laporan terdahulu, Kymco AK550 ini merupakan produk CBU, dengan anggaran harganya dikatakan di bawah harga Yamaha TMAX 560 Tech Max 2022.

Di pasaran Filipina, Kymco AK550 Premium ditawarkan pada harga sebanyak Php. 649,000.00, bersamaan RM 54,151.51 (kadar semasa). Untuk pasaran Malaysia, model tersebut juga akan ditawarkan dalam versi Premium. Jadi anggaran harganya dijangka antara RM 50k – RM 60k.

Kymco AK550 merupakan sebuah model skuter maxi berprestasi tinggi dan canggih. Merujuk kepada sumber dari internet dan YouTube, top speed atau kelajuan maksimumnya adalah sekitar 167 km/j sehingga 193 km/j, bergantung kepada pelbagai faktor termasuk modifikasi.

Bagaimanapun untuk maklumat yang lebih tepat mengenai spesifikasi dan harga jualannya, sama-samalah kita nantikan pelancaran rasminya tidak lama lagi. Diharapkan harga asas Kymco AK550 ini akan berada pada tahap berpatutan, serta sepadan dengan apa yang ditawarkan.