Yamaha YZF-R1 2024 dan Yamaha YZF-R1M 2024 terima kemaskini warna baharu di pasaran Jepun

Yamaha baru-baru ini telah mengumumkan kehadiran model Yamaha YZF-R1 2024 dan Yamaha YZF-R1M 2024 untuk pasaran Jepun. Kedua-dua model tersebut kini telah menerima kemaskini warna baharu iaitu Blue dan Black untuk YZF-R1, dan skim warna Carbon untuk YZF-R1M.

Untuk pasaran Jepun, Yamaha YZF-R1 2024 ditawarkan dengan harga sebanyak 2,365,000 Yen (RM 76,899.09). Yamaha YZF-R1M 2024 pula mempunyai tanda harga sebanyak 3,190,000 Yen (RM 103,724.35). Kedua-duanya akan berada di pasaran Jepun mulai tarikh 12 Januari 2024.

Berdasarkan maklumat di dalam siaran akhbar, spesifikasi teknikal untuk YZF-R1 dan YZF-R1M bagi musim tahun 2024 kekal tidak berubah. Kedua-dua model itu dilengkapi enjin berprestasi tinggi yang bersesaran 998cc (liquid-cooled, inline 4 cylinder, DOHC, 4-valves per cylinder).

Enjin itu kemudiannya digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan, dengan hamburan maksimum 200PS @ 13,500rpm dan tork maksimum 113Nm @ 11,500rpm. Dengan tangki bahan api 17 liter, berat YZF-R1 mencecah 201 kg, manakala berat YZF-R1M ialah 202 kg.