Selepas memperkenalkan Aveta Service Corner (ASC), Aveta Malaysia kini dengan rasminya memperkenalkan pula program terbaharunya Aveta Care on Wheels (ACW). ACW merupakan pasukan perkhidmatan mudah alih yang terdiri daripada satu trak pikap dan tiga motosikal.
Misi pasukan tersebut adalah untuk memberikan perkhidmatan sokongan kepada semua pemilik motosikal Aveta di seluruh Semenanjung Malaysia, sekiranya mereka berhadapan dengan masalah teknikal. Pasukan ACW terdiri daripada kakitangan Aveta Malaysia yang berpengalaman dan telah dilatih khusus untuk menyelesaikan sebarang isu yang berkaitan.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Steven Lim, inisiatif yang baru diperkenalkan itu adalah untuk membantu, menyokong dan menawarkan bantuan secukupnya kepada pemilik motosikal Aveta, di samping menunjukkan komitmen pihak Aveta dalam menyampaikan perkhidmatan dan memenuhi keperluan setiap pelanggannya, terutamanya selepas memiliki motosikal Aveta.
“Di Aveta, kami komited untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti bagi memenuhi setiap keperluan pelanggan kami. Aveta faham bahawa produk yang menarik sahaja tidak mencukupi. Sesebuah jenama itu hanya akan berjaya apabila ia mempunyai program penjagaan pelanggan yang menyeluruh untuk memenangi hati dan keyakinan pelanggannya.” Tambah beliau lagi.
Buat masa ini inisiatif ACW hanya meliputi seluruh Semenanjung Malaysia sahaja, dan rancangan untuk memenuhi kehendak pelanggan di Sabah dan Sarawak sedang giat diuruskan. Inisiatif ACW kini beroperasi dari Isnin sehingga Sabtu, bermula dari jam 10:00 pagi sehingga 5:30 petang. Temujanji boleh dibuat melalui talian Aveta Customer Careline di +60129565409.
Dengan pelancaran program ASC dan ACW, peminat motosikal tempatan kini tidak lagi ragu-ragu untuk memiliki mana-mana motosikal Aveta. Antara model-model menarik keluaran Aveta ialah Aveta V13R, Aveta VZR250, Aveta VADV150 Hybrid dan Aveta Ranger Max Explorer.