Pada bulan Jun yang lepas, model bergaya retro Brixton Cromwell 1200 2023 secara rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia. Terkini, model tersebut telah diperkenalkan dalam versi yang lebih menarik iaitu Brixton Cromwell 1200 X 2024, buat masa ini khusus untuk pasaran Eropah.
Merujuk kepada laman sesawang rasmi Brixton Motorcycles, Cromwell 1200 X bakal ditawarkan di pasaran Eropah pada tahun depan, dengan harga dari 11,499.00 EUR (RM 58,414.95). Model itu setakat ini didapati mempunyai satu pilihan warna sahaja, di mana ianya mirip warna cream.
Selain perbezaan warna jika dibandingkan dengan model standard, Brixton Cromwell 1200 X juga dilengkapi tayar jenis dual purpose, membolehkannya beraksi dengan lebih baik di jalan yang tidak berturap atau pun di mana-mana kawasan muka bumi yang tidak rata dan mencabar.
Brixton Cromwell 1200 X 2024 seterusnya mempunyai tempat duduk jenis rata yang kelihatan lebih menarik berbanding pada model standard. Rim rodanya pula berwarna emas berbanding warna hitam pada model standard, yang bersaiz 110/80-18 (depan) dan 150/70-17 (belakang).
Di bahagian enjin, ianya kekal sama seperti model standard iaitu bersesaran 1,222cc (In-Line, 2 Cylinder, 4-Stroke, Water Cooled), dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 83ps @ 6,550rpm dengan tork maksimum 108Nm @ 3,100rpm.
Spesifikasi menarik lainnya ialah tangki bahan api 16 liter, tinggi tempat duduk 800 mm, sistem suspensi KYB, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, sistem lampu LED sepenuhnya dengan DRL, panel meter digital TFT, pengecas USB, Skid Plate, dan sistem ekzos berkembar.
Sama seperti model standard, Brixton Cromwell 1200 X 2024 ini juga dilengkapi sistem pendikit minyak elektrik, dua mod tunggangan Eco dan Sport, Traction Control dan Cruise Control. Untuk pasaran Malaysia, diharapkan ianya juga akan dilancarkan oleh pengedar rasmi MForce Bike.