Di pasaran Malaysia, motosikal kapcai dan motosikal moped sememangnya sangat popular dan menjadi pilihan ramai. Kedua-dua jenis motosikal berkenaan digunakan sebagai kenderaan pengangkutan harian, kerana kos pemilikannya yang rendah dan mudah untuk digunakan.
Merujuk kepada pasaran semasa, terma motosikal kapcai dan moped sebenarnya adalah sama. Namun pada ketika ini, motosikal kapcai lebih merujuk kepada model-model motosikal dengan kelengkapan enjin bersesaran di bawah 135cc, dan juga tidak dilengkapi dengan klac tangan.
Motosikal moped pula merujuk kepada model-model motosikal dengan enjin bersesaran 150cc dan ke atas, seperti yang terdapat di dalam senarai 10 motosikal moped paling popular ini. Motosikal moped juga dilengkapi klac tangan dan mempunyai prestasi enjin yang lebih tinggi.
Sebagai panduan, di bawah berikut ialah senarai 10 motosikal kapcai paling popular di pasaran Malaysia, bagi edisi tahun 2023. Senarai itu adalah berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh Arena Motosikal semata-mata, dan ianya tidak disokong oleh mana-mana fakta jualan.
Untuk makluman sebelum anda bertanya, dua buah model kapcai popular yang tidak termasuk di dalam senarai ini ialah Yamaha Lagenda 115Z dan Honda EX5. Ini kerana pengeluaran kedua-dua model tersebut sebelum ini telah disahkan ditamatkan secara rasmi pada tahun ini.
SM Sport 110R merupakan sebuah model kapcai yang diedarkan oleh MForce Bike Holdings. Berdasarkan maklumat terdahulu, harga asasnya ialah sebanyak RM 4,018.00 sahaja. Enjinnya bersesaran 109cc dan dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Reka bentuknya boleh dikatakan menarik dan sporty, dan tersedia dengan beberapa pilihan warna yang menyerlah.
Sekali pandang, Aveta RX110 ini mirip model moped popular Yamaha Lagenda 115Z. Mungkin sebab itu kelibatnya agak mudah dilihat di mana-mana sahaja. Tambahan pula harganya yang berpatutan dan mampu milik. Enjinnya bersesaran 110cc, dipadankan transmisi empat kelajuan, dan mampu menjana kuasa maksimum 6.83hp @ 7,500rpm dengan tork 7.2Nm @ 5,500rpm.
Penampilan Aveta V13R ini sebenarnya agak mengejutkan, kerana ianya diinspirasikan daripada model Yamaha Y15ZR. Namun sebagai model kapcai, enjinnya hanya 130cc dengan gandingan transmisi empat kelajuan. Suspensi belakangnya pula jenis berkembar, dan brek belakang jenis dram. Bayangkan kalau ianya dilengkapi suspensi belakang mono dan brek belakang cakera.
Sym Sport Rider 125i telah lama berada di pasaran tempatan. Oleh kerana reka bentuknya yang sporty dan enjin bersesaran 123cc dengan kuasa dan tork yang memuaskan, ianya masih lagi mampu bertahan. Pada tahun 2022 yang lalu, model tersebut telah menerima tiga pilihan warna terbaharu yang lebih menarik. Harga asasnya adalah berpatutan, iaitu di bawah RM 6k sahaja.
Di pasaran tempatan, Modenas Kriss 110 telah menjadi sebuah model legenda. Sehingga kini ianya masih ditawarkan, dengan yang terbaru ialah dalam versi 2023. Harga asasnya berpatutan dan mampu milik, bermula dari hanya RM 3,917.00. Namun sayangnya model ini tidak lagi mempunyai DNA daripada Kawasaki, sebaliknya berasal-usul daripada Zongshen Face Off.
Pada bulan Januari 2023, Honda Wave Alpha berwajah baharu dengan rasminya dilancarkan. Reka bentuknya kini kelihatan lebih moden berbanding model sebelumnya. Enjinnya 109.2cc (penyejuk udara, SOHC, 4-lejang, 2-injap) dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, dan dipadankan dengan sistem transmisi empat kelajuan. Harga asasnya sebanyak RM 5,179.00.
Siapa sangka Yamaha EZ115 akan dilancarkan di pasaran Malaysia, seterusnya menggantikan model terdahulu Yamaha Lagenda 115Z. Dari segi penampilan, Yamaha EZ115 ini tidak kurang menariknya jika dibandingkan dengan Yamaha Lagenda 115Z. Enjinnya 114cc dengan padanan transmisi empat kelajuan. Harga asasnya pula masih berpatutan, iaitu sebanyak RM 5,598.00.
Antara model keluaran Boon Siew Honda yang mendapat tempat di hati ramai peminat. Bukan saja kerana enjinnya yang mampu menawarkan kuasa memuaskan dan ekonomi, malah kerana spesifikasinya yang serba lengkap. Selain itu, Honda Wave 125i merupakan satu-satunya model kapcai yang mampu memuatkan sebuah helmet bermuka penuh di bawah tempat duduknya.
Untuk peminat model moped namun tidak mahu berbelanja lebih, Honda Dash 125 seringkali menjadi pilihan. Ini kerana reka bentuknya yang sporty dan dilengkapi enjin 124.9cc dengan prestasi yang sudah memadai. Ianya juga dilengkapi brek cakera depan dan belakang. Skim warna yang tersedia juga sangat menarik. Harga asasnya ditawarkan sebanyak RM 6,449.00.
Sewaktu ianya dilancarkan pada tahun 2022 yang lalu, Yamaha 135LC Fi generasi serba baharu ini mendapat pelbagai reaksi daripada ramai peminat motosikal tempatan. Namun akhirnya kini ramai yang mengakui bahawa model ini mempunyai reka bentuk yang sangat sporty berbanding model generasi sebelumnya. Malah tanpa klac tangan, ianya sesuai untuk semua penunggang.