Benarkah Honda EX5 tidak pernah dijual di pasaran Jepun?

Model kapcai Honda EX5 merupakan sebuah model yang bertaraf legenda dan ikonik di pasaran Malaysia. Namun sejak awal tahun ini, model berkenaan tidak lagi ditawarkan.

Baru-baru ini model tersebut kembali popular, apabila tular berita mengenai sebuah motosikal Honda EX5 dengan nombor pendaftaran Malaysia telah ditemui berada di negara Jepun.

Menurut sumber, motosikal tersebut dimiliki oleh seorang rakyat Jepun yang pernah bekerja di kilang Boon Siew Honda di Batu Kawan, Pulau Pinang, dari tahun 2011 sehingga 2015.

Honda EX5 tersebut dibeli sewaktu beliau bekerja di Malaysia. Apabila beliau pulang ke negara asalnya, motosikal kapcai kesayangannya itu turut diterbangkan bersama-sama ke Jepun.

Di kalangan netizen di Malaysia, ramai yang berasa bangga apabila melihat sebuah Honda EX5 buatan tempatan berada di Jepun, kerana model itu dikatakan tidak pernah dijual di sana.

Persoalannya ialah adakah benar Honda EX5 tidak pernah dijual di pasaran Jepun? Sebenarnya model kapcai Honda EX5 pernah dijual di pasaran Jepun, pada tahun 1988 dan 1989.

Berdasarkan siaran akhbar rasmi, Honda EX5 di pasaran Jepun dikenali dengan nama Honda Cub 100EX. Ianya diimport dari kilang Honda di Thailand ke pasaran domestik Jepun.

Pada tahun 1988, Honda telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 2,000 unit setahun untuk model tersebut. Sasaran jualan bagi tahun 1989 pula ialah sebanyak 1,000 unit setahun.

Spesifikasi enjin untuk Honda Cub 100EX bagi model tahun 1988 dan 1989 itu ialah bersesaran 97cc (air-cooled, 4-cycle, OHC single cylinder) dengan padanan transmisi empat kelajuan.

Kuasa maksimumnya 8.0PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 8.14Nm @ 6,000rpm. Bagi model tahun 1988, pilihan warnanya ialah hitam, manakala model tahun 1989 berwarna biru.

Oleh kerana unit jualannya yang terhad dan tempoh jualan yang singkat, mungkin disebabkan itulah dikatakan Honda Cub 110EX @ Honda EX5 ini tidak pernah dijual di pasaran Jepun.