Honda baru-baru ini telah mengumumkan dua model kapcai keluarannya iaitu Honda Super Cub 110 2024 dan Honda Cross Cub 110 2024 di pasaran domestik Jepun kini ditawarkan dengan pilihan warna baharu.
Bagi model Super Cub 110, pilihan warna baharunya ialah Flare Orange Metallic. Sementara itu empat pilihan warna terdahulu yang masih tersedia untuk model kapcai itu ialah Glint Wave Blue Metallic, Tasmanian Green Metallic, Virgin Beige, dan Classical White.
Cross Cub 110 pula ditawarkan pilihan warna baharu Matte Jeans Blue Metallic, di samping dua pilihan warna terdahulu Matte Armored Green Metallic dan Pearl Deep Mud Gray. Menurut Honda, kedua-dua model tersebut bagi tahun 2024 akan berada di pasaran Jepun bermula tarikh 14 Disember 2023 akan datang.
Untuk pasaran Jepun, Honda Super Cub 110 2024 boleh dimiliki dengan harga sebanyak 302,500 Yen (RM 9,628.32), manakala Honda Cross Cub 110 2024 mempunyai tanda harga sebanyak 363,000 Yen (RM 11,553.99).
Di bahagian enjin, kedua-dua model berkenaan dilengkapi enjin yang sama bersesaran 109cc dengan gandingan transmisi empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 8.0PS @ 7,500rpm dengan tork maksimum 8.8Nm @ 5,500rpm.