Aveta Ranger Max Explorer 2024 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 6,988.00

Aveta Malaysia Sdn. Bhd. hari ini rasmi melancarkan sebuah model moped adventure terbaharu yang cukup menarik dan sporty, iaitu Aveta Ranger Max Explorer 2024.

Tampil dengan dua pilihan warna Sierra Yellow dan Forest Green, harga asasnya ditawarkan sebanyak RM 6,988.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Untuk ketenangan minda pemiliknya, Aveta menawarkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan, untuk model bergaya retro moden itu.

Aveta Ranger Max Explorer 2024 dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 127cc SOHC, dan dipadankan dengan transmisi dwi klac (DCT) 4-kelajuan yang lancar.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin dengan sistem penyejukan udara dan cekap penggunaan bahan api itu ialah 10hp, dengan tork maksimum 10.5Nm.

Tinggi tempat duduknya berada pada paras hanya 760 mm, manakala jarak kelegaan bumi 180 mm. Paling menarik ialah tangki bahan apinya berkapasiti 8.5 liter.

Aveta Ranger Max Explorer 2024 akan berada di semua wakil pengedar sah Aveta mulai tarikh 11 Disember 2023. Lima ratus pelanggan pertama akan menerima kemeja-T Ranger Max Explorer yang eksklusif selagi stok masih ada. 

Sementara itu, Aveta kini dalam proses mempertingkatkan rangkaian sokongan jualan dan khidmat selepas jualan untuk mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap jenama itu.

Syarikat tersebut juga melancarkan program Aveta Care on Wheels yang terdiri daripada sebuah trak pikap dan tiga buah motosikal untuk melayan pelanggan di Semenanjung Malaysia.

Ia juga sedang menjalinkan kerjasama dengan bengkel-bengkel motosikal untuk membuka 30 Aveta Service Corner di seluruh negara menjelang penghujung 2024 untuk memenuhi keperluan bilangan motosikal Aveta yang semakin meningkat.

Di samping itu, 10 stokis alat ganti juga akan dilantik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk memastikan alat ganti boleh didapati dengan mudah.

Nampaknya Aveta benar-benar serius untuk menarik minat peminat motosikal di Malaysia. Syabas diucapkan atas pelancaran Aveta Ranger Max Explorer 2024 ini.