Model bergaya retro Yamaha XSR125 ABS 2024 kini rasmi dilancarkan di pasaran Jepun, dengan harga jualan sebanyak 506,000 Yen, bersamaan RM 15,792.77 mengikut kadar mata wang semasa.
Model tersebut boleh didapati dalam empat pilihan warna menarik iaitu Light Blue, Orange, Black dan Silver.
Yamaha XSR125 ABS 2024 dilengkapi enjin bersesaran 124cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan teknologi VVA, seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.
Enjin yang cekap itu menawarkan kuasa maksimum 15PS @ 10,000rpm dengan tork maksimum 12Nm @ 8,000rpm.
Sementara itu di pasaran ASEAN, versi yang ditawarkan ialah Yamaha XSR155 dengan enjin 155cc.
Namun untuk pasaran Malaysia, setakat ini model yang mendapat permintaan ramai itu sehingga kini masih belum dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).