Suzuki Malaysia kini secara rasmi melancarkan dua model terbaharu yang ditunggu-tunggu, iaitu Suzuki Gixxer 250 2023 dan Suzuki Gixxer SF250 2023. Kedua-duanya berada di dalam kategori yang berbeza iaitu naked dan sport bike, namun dilengkapi enjin yang sama bersesaran 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin itu kemudiannya dilengkapi dengan sistem penyejukan minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System).
Prestasi maksimum yang dihasilkan oleh enjin berkenaan mencapai 26.5PS @ 9,300rpm dengan tork 22.2Nm @ 7,300rpm. Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 ialah Suzuki Easy Start System, fork depan 41 mm, suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras prabeban, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tangki petrol 12 liter, tinggi pelana 800 mm, dan tayar berukuran 110/70-R17 (depan) dan 150/60-R17 (belakang).
Kedua-dua model berkenaan turut dilengkapi panel meter digital LCD, lampu depan dan belakang LED, dan paip ekzos sporty. Untuk model Gixxer 250, dua pilihan warna menariknya ialah Metallic Met Stellar Blue dan Metallic Matte Black No. 2. Gixxer SF250 pula mempunyai dua pilihan warna menarik iaitu Metallic Sonic Silver / Metallic Triton Blue (Edisi GP) dan Metallic Matte Black No. 2. Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Gixxer 250 2023 ditawarkan dengan jualan asas RM 14,500.00.
Sementara itu untuk Suzuki Gixxer SF250 2023, harga jualan asasnya ditawarkan sebanyak RM 15,200.00 bagi pilihan warna Metallic Matte Black No. 2, dan diikuti sebanyak RM 15,500.00 bagi pilihan warna Metallic Sonic Silver / Metallic Triton Blue (Edisi GP). Menurut Suzuki Malaysia, dua model berkenaan merupakan produk pemasangan tempatan atau CKD (Complete Knock-Down), dan dijangka akan menarik perhatian ramai peminat motosikal khususnya untuk pemilik lesen B2.