Yamaha TMAX 560 Tech Max 2022 di pasaran Malaysia, harga asas RM 74,998.00

Pada bulan Oktober 2022 yang lalu, pasaran Malaysia secara rasmi menerima pelancaran model skuter terbaharu Yamaha TMAX 560 Tech Max 2022. Tidak seperti di pasaran Eropah dan Jepun yang turut menerima varian standard, pasaran Malaysia hanya ditawarkan varian teratas sahaja iaitu varian Tech Max. Menurut HLYM, model skuter maxi berkenaan merupakan versi CKD atau pemasangan tempatan, membolehkan harga asasnya ditetapkan pada RM 74,998.00 sahaja.

Antara ciri menarik yang ditawarkan termasuklah paparan navigasi Garmin pada panel instrumen TFT 7.0 inci, dengan harga langganan bulan pertama RM 27.00. Turut melengkapinya ialah cruise control, skrin boleh laras elektrik, pemanas genggaman, pemanas tempat duduk utama, suspensi belakang boleh laras, dan suis handlebar yang bercahaya. Ciri-ciri standard lainnya seperti sistem operasi keyless dengan smart key, sistem sambungan ke telefon pintar, sistem ride-by-wire iaitu Accelerator Position Sensor Grip (APSG), traction control dan D-MODE untuk pilihan mod enjin.

Selanjutnya, Yamaha TMAX 560 Tech Max 2022 ini dilengkapi fork depan upside-down 41 mm, suspensi belakang tunggal jenis link-type, brek cakera depan dan belakang, tongkat tengah anti kecurian, ruang barangan di bawah tempat duduk yang luas, tudung tangki petrol aero-style yang beroperasi secara elektrikal, dan sistem ekzos sporty dengan bunyian padu. Tinggi tempat duduk berada pada paras 800 mm, manakala tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 15 liter.

Yamaha TMAX 560 Tech Max 2022 ini dikuasakan enjin bersesaran 562cc (liquid-cooled, parallel twin-cylinder, 4-stroke, 4-valves, DOHC) dengan gandingan sistem transmisi automatik CVT. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 47.6hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 55.7Nm @ 5,250rpm. Berat keseluruhannya pula hanya 220 kg. Untuk anda yang berminat memiliki sebuah model skuter maxi yang bergaya, sporty dan berkuasa, mungkin inilah model yang dicari-cari.

Sumber : Paultan.org