Modenas Dinamik 120 – apakah sebabnya model dua lejang ini masih lagi ditawarkan di pasaran tempatan?

Sekitar tahun 2018 yang lalu, kerajaan Malaysia melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), secara rasminya telah menguatkuasakan akta berkaitan untuk menghentikan penjualan motosikal dua lejang di pasaran tempatan. Ini kerana motosikal dua lejang tidak lagi mampu mematuhi piawaian emisi yang terkini.

Bagaimanapun di pasaran tempatan ketika ini, masih lagi terdapat model motosikal dua lejang yang ditawarkan iaitu Modenas Dinamik 120. Pengeluaran model tersebut secara rasminya telah ditamatkan sekitar penghujung tahun 2017 yang lalu, melalui pelancaran Modenas Dinamik 120 Edisi Harimau Malaya, dalam jumlah terhad 1,000 unit sahaja.

Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan baru-baru ini, Modenas Dinamik 120 dalam versi New Old Stock (NOS) sehingga kini masih lagi dijual. Setelah beberapa tahun berlalu, adalah agak menghairankan kenapa model motosikal yang telah bertaraf legenda ini masih lagi ditawarkan, sedangkan pengeluarannya telah lama ditamatkan.

Antara beberapa kemungkinan yang menjadi penyebabnya ialah Modenas Dinamik 120 masih lagi dijual pada harga yang agak tinggi iaitu menjangkau sehingga melebihi RM 7,000.00, kos pemilikannya yang lebih tinggi berbanding motosikal empat lejang, dan kini terdapat pelbagai model motosikal empat lejang terbaharu yang lebih sporty dan berprestasi.

Faktor-faktor tersebut dan juga termasuk faktor-faktor lain mungkin telah menyebabkan prestasi jualan Modenas Dinamik 120 sehingga kini menjadi sangat perlahan. Mungkin jika harga jualannya ditawarkan pada paras yang lebih rendah, di bawah RM 6,500.00 misalnya, tentu ramai peminat motosikal tempatan yang berminat untuk memilikinya tanpa perlu lagi berfikir panjang.

Dengan melihat kepada stok Modenas Dinamik 120 versi NOS yang masih lagi banyak pada ketika ini, tidak dapat dipastikan sampai bilakah model tersebut akan terus berada di pasaran tempatan. Adakah dalam masa lima tahun lagi, ianya masih lagi ditawarkan? Agak menarik sebenarnya untuk melihat bilakah stok terakhir model motosikal dua lejang ini akan terjual.