Sewaktu di zaman kegemilangannya dahulu, pengeluar motosikal tempatan berjenama Demak telah menawarkan pelbagai jenis model motosikal kapcai yang menarik. Salah satu daripadanya ialah model Demak EVO ZR110 ini, yang mana gambar-gambarnya dalam galeri di bawah telah dirakamkan pada tahun 2016, bertempat di Gurun, Kedah.
Demak EVO ZR110 dikuasakan enjin bersesaran 110cc, tampil sporty dengan sistem brek cakera di bahagian roda depannya. Reka bentuk keseluruhannya bagi sesetengah orang mungkin berbeza, bergantung kepada pandangan mata yang melihatnya. Yang penting, harga jualannya yang ditawarkan adalah berpatutan dan masih mampu milik.
Selain itu, Demak EVO ZR110 ini mempunyai pelbagai pilihan warna yang terang dan menyerlah, salah satunya ialah pilihan warna hijau yang anda dapat lihat di sini. Pilihan warna oren untuk model berkenaan juga kelihatan cukup menarik dan ceria. Bahagian dada depannya pula terlihat sepasang lampu yang besar, yang pastinya cukup terang.
Pada ketika ini, untuk melihat kelibat Demak EVO ZR110 di jalan raya mungkin agak sukar, memandangkan syarikat Demak telah pun berkubur. Namun jika ada pemiliknya yang masih menggunakan motosikal kapcai ini untuk urusan seharian, bermakna ianya telah memiliki sebuah model yang mungkin bertaraf ‘rare’ dan semakin sukar ditemui.
Sumber gambar : Motosikal.info