Masih lagi segar dengan berita kerjasama di antara pengeluar motosikal nasional kedua AFAZ dan Suzuki, kini laporan lebih lengkap mula menyusul. Terkini menurut siaran akhbar yang disiarkan oleh laman sesawang global Suzuki, syarikat Jepun itu akan membekalkan bahagian enjin dan badan untuk model di antara 110cc sehingga 150cc kepada AFAZ.
Menurut Suzuki lagi, mereka akan membekalkan komponen-komponen berkenaan bermula dari suku pertama 2024, daripada kilang mereka yang terletak di Asia Tenggara. Setakat ini masih belum dapat dipastikan barisan model motosikal apakah yang bakal dikeluarkan oleh AFAZ, namun kemungkinan besar ianya merangkumi model-model kapcai dan skuter.
Jangkaan model pertama yang akan masuk ke pasaran Malaysia pula mungkin pada tahun 2024, atau selewat-lewatnya pada tahun 2025. Namun apa yang masih menjadi persoalan ialah adakah AFAZ akan berkembang seperti mana Modenas, atau hanya sekadar menjadi pengeluar bagi beberapa buah model motosikal dalam jumlah pengeluaran yang kecil.
Tambahan pula pada ketika ini pasaran Malaysia boleh dikatakan telah hampir tepu dengan pelbagai jenis model motosikal baharu yang dilancarkan pada setiap bulan. Bagaimanapun mungkin AFAZ mempunyai perancangan mereka sendiri bagi memecah monopoli pasaran sedia ada, seterusnya berdiri megah setanding dengan jenama-jenama terkenal yang lain.
Sementara itu ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah terciptanya jenama AFAZ. Adakah ianya singkatan daripada nama Ahmad Faez Yahaya yang merupakan Pengerusi Eksekutif KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB)? Mungkin juga, atau mungkin tidak. Paling penting sekali, diharapkan AFAZ akan terus berdaya maju dengan pelbagai model-model yang menarik.
Sumber gambar logo : classicracing33