Yamaha Y16ZR ABS 2024 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia

Pasaran Vietnam baru-baru ini dengan rasminya menerima pelancaran generasi terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA 2023, dalam versi Non-ABS dan ABS. Bagi versi Non-ABS, model tersebut ditawarkan dalam varian Standard dan Premium. Bagi versi ABS, pilihan variannya pula ialah Premium, Limited Edition GP dan Limited Edition Monster Energy MotoGP.

Antara naik taraf baharu yang paling dinanti-nantikan untuk Yamaha Exciter 155 VVA 2023 ini sudah pasti sistem brek ABS Single Channel, yang dipadankan dengan kaliper brek dua piston dan cakera brek di bahagian depan yang bersaiz sebesar 267 mm. Dengan adanya sistem brek ABS, model tersebut kini mampu bersaing dengan model Honda Winner X.

Selain itu, Yamaha Exciter 155 VVA 2023 di pasaran Vietnam kini juga telah menerima naik taraf facelift terbaharu yang lebih menarik. Naik taraf tersebut melibatkan rekaan semula di bahagian depan, lampu belakang, mudguard belakang, naik taraf prestasi sistem suspensi, dan juga naik taraf sistem intake dan ekzos. Lebih dari itu, tempat duduk model berkenaan kini telah dipertingkatkan keselesaannya, untuk tunggangan yang lebih selesa dan sporty.

Di bahagian enjin dan ciri-ciri lain, Yamaha Exciter 155 VVA 2023 kekal dengan spesifikasi yang sama seperti mana model generasi sebelumnya. Enjinnya bersesaran 155cc dengan padanan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin berprestasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork 14.4Nm @ 8,000rpm.

Melengkapkan spesifikasi model moped popular tersebut termasuklah sistem lampu depan LED dengan lampu DRL, lampu belakang LED, panel meter digital, suis pemati enjin, suis lampu untuk memotong (passing light), tangki bahan api 5.4 liter, tayar depan dan belakang yang masing-masing bersaiz 90/80-17 dan 120/70-17, dan tinggi tempat duduk 795 mm.

Untuk pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA 2023 ditawarkan dengan harga bermula dari 48,000,000 VND (RM 9,237.83) sehinggalah 55,000,000 VND (RM 10,585.01). Dengan pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2023 di pasaran Vietnam, dijangkakan model tersebut di pasaran negara-negara ASEAN yang lain juga bakal menerima naik taraf yang serupa.

Untuk pasaran Malaysia, sudah pasti para peminat motosikal tempatan kini mengharapkan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan melancarkan segera Yamaha Y16ZR 2024 versi ABS. Namun setakat ini apa yang boleh diramalkan, Yamaha Y16ZR 2024 versi ABS hanya akan dilancarkan di pasaran Malaysia, paling awal mungkin pada tahun 2024 akan datang.

Artikel berkaitan :