Tempahan rasmi dibuka untuk Yamaha Ténéré 700, harga asas RM 69,988.00

Berita baik untuk peminat Yamaha Ténéré 700. Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasminya telah membuka tempahan untuk model adventure tersebut. Harga jualannya juga telah diumumkan iaitu sebanyak RM 69,988.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dan pelancaran rasminya dijadualkan berlangsung pada hujung tahun ini.

Untuk makluman, previu atau pratonton Yamaha Ténéré 700 sebelum ini telah diadakan di acara Karnival Gen Blu Yamaha 2023, yang berlangsung di kawasan Tempat Letak Kereta Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah, pada tarikh 17hb. September 2023. Melihat kepada model yang dipertontonkan itu, ianya adalah versi 2023, iaitu versi paling terkini.

Sementara menantikan pelancaran rasminya, kita lihat dahulu spesifikasi dan ciri-ciri yang bakal ditawarkan oleh model adventure bergaya off-road itu. Yamaha Ténéré 700 dilengkapi enjin CP2 bersesaran 689cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC), dengan transmisi 6-kelajuan. Kuasa maksimumnya 72.41hp @ 9,000rpm dengan tork 68Nm @ 6,500rpm.

Spesifikasi menariknya yang lain termasuklah kerangka ‘double cradle tubular steel’ yang ringan, gaya rekaan badan dan tempat duduk yang langsing, kompak dan ergonomik, fork depan boleh laras jenis upside down 43 mm dengan travel 210 mm, dan suspensi belakang boleh laras kawalan jauh dengan travel 200 mm. Tangki bahan apinya mencapai 16 liter.

Selain itu ianya dilengkapi kokpit bergaya rally dengan ‘tapered handlebars’, skrin TFT 5.0 inci dengan dua pilihan tema paparan Explorer dan Street, teknologi sambungan ke telefon pintar menggunakan aplikasi Yamaha My-Ride, soket pengecas USB, dan sistem brek ABS dengan tiga pilihan tetapan iaitu Full ON, Front wheel ON rear wheel OFF, atau Full OFF.

Sistem brek cakera depan berkembarnya bersaiz 282 mm, manakala brek cakera belakang tunggal bersaiz 245 mm. Sistem brek tersebut dipadankan dengan kaliper Brembo. Sistem lampu kesemuanya LED. Di bahagian roda, Yamaha Ténéré 700 dilengkapi rim aluminium berjejari yang ringan, dengan tayar bersaiz 90/90-21 (depan) dan 50/70-18 (belakang).

Untuk lebih keselesaan dan tahap perlindungan yang lebih baik sewaktu tunggangan, ianya juga dilengkapi skrin penghadang angin dan ‘handguards’. Bagaimanapun untuk maklumat yang lebih lengkap dan tepat mengenai spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan untuk model tersebut, sama-samalah kita nantikan pelancaran rasminya di negara kita tidak lama lagi.