Baru-baru ini netizen di Malaysia telah disajikan dengan dua kisah tular yang menyedihkan. Kisah pertama ialah berkenaan seorang rider penghantar makanan yang terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Situasi tersebut berlaku disebabkan oleh cukai jalan dan insuran motosikal itu yang telah tamat tempoh.
Kisah kedua pula berkenaan seorang rider penghantar makanan yang mengambil tindakan sendiri dengan merosakkan motosikalnya, gara-gara motosikal tersebut akan ditarik setelah mempunyai tunggakan bayaran bulanan selama 34 bulan. Kedua-dua video tular mengenai dua rider penghantar makanan itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi dari netizen.
Kesimpulan yang dapat dibuat mengenai situasi yang berlaku terhadap kedua-dua rider itu ialah ianya mungkin berkenaan masalah kewangan yang sedang mereka hadapi. Apa yang boleh kita harapkan ialah situasi tersebut tidak akan berulang kepada mana-mana rider lain, dan apa yang berlaku itu sewajarnya dijadikan iktibar, kepada rider dan juga kita semua.
Oleh itu sebagai panduan untuk individu yang mahu berjinak-jinak sebagai rider penghantar makanan, sudah pasti memerlukan motosikal. Namun model motosikal apakah yang sesuai digunakan sebagai kenderaan penghantar makanan? Berdasarkan pemerhatian, salah satu daripadanya yang dirasakan antara paling sesuai ialah model Modenas Kriss 110 2023.
Modenas Kriss 110 2023 dilancarkan pada bulan Mac 2023, dengan dua pilihan varian iaitu brek depan jenis dram dan brek depan jenis cakera. Selain itu skim warna untuk kedua-dua varian juga berbeza. Harga asas yang ditawarkan ialah sebanyak RM 3,917.00 untuk varian brek depan jenis dram, dan sebanyak RM 4,437.00 untuk varian brek depan jenis cakera.
Spesifikasi enjin untuk kedua-dua varian Modenas Kriss 110 2023 adalah sama, bersesaran 107cc dengan padanan transmisi empat kelajuan. Enjin itu dilengkapi sistem karburetor dan sistem penyejukan jenis udara. Jumlah kuasa maksimumnya mencapai 6.57hp @ 8,000rpm dengan tork 6.7Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti 4.2 liter.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Modenas Kriss 110 2023 ialah panel meter dengan paparan gear dan penunjuk minyak digital, suis lampu kecemasan, kemudahan pengecas USB, dan ruang storan di bawah tempat duduk seluas 6.6 liter. Melihat kepada penampilan dan reka bentuknya, model kapcai tersebut sememangnya mempunyai gaya yang sporty.
Antara sebab kenapa Modenas Kriss 110 2023 ini dikatakan sangat sesuai untuk rider yang mahu berjimat ialah kerana harganya yang cukup berpatutan. Ini bermakna kos pembelian sama ada secara tunai atau dengan bayaran ansuran bulanan tidaklah terlalu tinggi. Secara tidak langsung ianya tidak akan membebankan dari aspek kewangan pada setiap bulan.
Pada masa yang sama, Modenas Kriss 110 2023 ini diakui menawarkan tahap penjimatan bahan api yang memuaskan, antara faktor penting yang membolehkan rider untuk berjimat. Kos penyelenggaraannya juga rendah, jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan model-model lain, terutamanya model-model moped yang berharga sehingga belasan ribu ringgit.
Perlu diingatkan bahawa motosikal yang digunakan oleh rider penghantar makanan adalah sebuah kenderaan yang digunakan untuk bergerak dari titik A ke titik B, bagi menyelesaikan tugasan menghantar makanan kepada pelanggan. Ianya bukanlah motosikal untuk bergaya sehingga memerlukan rider untuk mengikat perut bagi membayar kos bulanan yang tinggi.
Dengan hanya menggunakan Modenas Kriss 110 2023, sudah pasti ianya akan membantu rider untuk berjimat pada setiap bulan, seterusnya mengelakkan rider daripada mengalami masalah motosikal disita kerana tidak mampu membayar cukai jalan dan insuran. Lebih dari itu, masalah motosikal ditarik kerana gagal membuat bayaran juga pastinya tidak berlaku.
Galeri : Modenas Kriss 110 2023 (varian brek depan jenis dram)
Galeri : Modenas Kriss 110 2023 (varian brek depan jenis cakera)