Berbaloikah pembelian Modenas Ninja ZX-25R SE 2023?

Model sports terbaharu yang ditunggu-tunggu selama ini, Modenas Ninja ZX-25R SE 2023 akhirnya secara rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, pada tarikh 14hb. September 2023 baru-baru ini. Model 250cc empat silinder tersebut hadir dengan dua pilihan warna menarik iaitu Metallic Matte Graphenesteel Grey / Ebony dan Lime Green / Ebony (KRT Edition).

Untuk pasaran Malaysia, Modenas Ninja ZX-25R SE ditawarkan dengan harga jualan asas RM 33,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Model CKD berkenaan kemudiannya didatangkan tempoh jaminan selama 2 tahun, dengan jarak perjalanan tanpa had. Turut tersedia ialah program bantuan tepi jalan Kawasaki Roadside Assistance 24/7.

Spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan untuk Modenas Ninja ZX-25R SE ini adalah sangat menarik, di mana enjinnya bersesaran 250cc (Liquid Cooled, 4-Stroke In-Line Four, DOHC, 16 Valves) dengan prestasi maksimum 46.2hp @ 15,500rpm dan tork 22Nm @ 12,500rpm. Enjin itu seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch.

Melengkapkan lagi spesifikasi dan ciri-cirinya yang serba canggih termasuklah sistem KQS (Kawasaki Quick Shifter), Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves, Power Mode Selection, KTRC (Kawasaki Traction Control), fork depan jenis terbalik SFF-BP 37 mm, dan suspensi belakang monoshock jenis Horizontal Back-Link dengan ciri ‘adjustable preload’.

Selain itu, Modenas Ninja ZX-25R SE yang bergaya sporty dan agresif ini juga didatangkan sistem brek depan yang mantap (single semi-floating 310 mm disc radial-mount, monobloc, opposed 4 piston), dengan sistem ABS Dual Channel. Di bahagian roda, ianya tampil dalam siri 110/70-17 (depan) dan 150/60-17 (belakang), dengan balutan tayar berprestasi tinggi.

Di bahagian lampu, ianya merupakan LED sepenuhnya, manakala panel meter TFT 4.3 inci boleh disambungkan ke telefon pintar. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 785 mm, dan berat keseluruhan model dengan tangki bahan api 15 liter itu ialah 184 kg (curb mass). Sementara itu, jarak kelegaan tanahnya (ground clearance) berada pada angka 118 mm.

Dengan ciri-ciri yang disebutkan seperti di atas, tidak dinafikan lagi bahawa Modenas Ninja ZX-25R SE 2023 ini merupakan sebuah jentera sporty yang sangat menawan dan menjadi idaman ramai. Namun dengan harga asas mencecah RM 33,900.00, adakah pembeliannya berbaloi? Harga sebanyak itu boleh dikatakan tinggi dan tidak semua mampu membelinya.

Namun untuk yang berkemampuan, pembelian model tersebut boleh dikatakan berbaloi. Ini kerana di pasaran Malaysia pada ketika ini, Modenas Ninja ZX-25R SE 2023 ini merupakan satu-satunya model yang dikuasakan enjin 250cc empat silinder berprestasi tinggi. Sebagai contoh, saingan terdekatnya Honda CBR250RR hanya dilengkapi enjin 250cc dua silinder.

Dengan enjin 250cc empat silinder sebaris, sistem ekzosnya berupaya menghasilkan bunyi yang sangat agresif namun merdu. Ini menjadikan ciri tunggangannya lebih menyeronokkan bagaikan menunggang motosikal dengan kapasiti enjin yang lebih besar. Lebih menarik lagi ialah pemiliknya boleh menunggangnya walaupun dengan lesen motosikal dalam kelas B2.