Menurut laporan daripada rakan media iaitu Motomalaya.net, Modenas tidak lama lagi dikatakan bakal melancarkan model skuter terbaharu Kymco AK550 ST generasi terbaharu untuk pasaran Malaysia. Kymco AK550 ST merupakan varian teratas dengan spesifikasi yang lebih menarik dan lebih canggih berbanding Kymco AK550 versi standard.
Menurut sumber, Kymco AK550 ST untuk pasaran tempatan itu kini dikatakan telah selesai menjalani proses ujian VTA yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini. Pada masa yang sama, dikatakan pemilik skuter Modenas Elegan 250EX bakal diberi peluang untuk melihat model tersebut dengan lebih dekat melalui lawatan ke kilang Modenas yang akan dianjurkan oleh pihak Modenas tidak lama lagi.
Untuk makluman, Modenas dan Kymco sebelum ini sememangnya telah pun menjalinkan kerjasama, di mana Modenas telah dilantik sebagai pengeluar dan pengedar eksklusif model skuter KYMCO di Malaysia sejak tahun 2016. Bagi model Kymco AK500 ST, ianya dikuasakan enjin bersesaran 550cc dengan dua silinder dan lapan injap, dan menghasilkan kuasa maksimum 51hp dengan tork 55Nm. Kelajuan maksimumnya mencecah 160 km/j.
Model tersebut turut dilengkapi Electronic Throttle System (ETS), Traction Control dan juga Cruise Control. Ciri-ciri menarik lainnya termasuklah dua paparan panel meter digital LCD serta TFT di bahagian tengah, sistem sambungan ke telefon pintar dengan paparan sistem navigasi khas Kymco Noodoe, sistem brek Brembo dengan ABS, dan sistem lampu LED.
Melengkapkan model tersebut ialah lampu DRL (Daytime Running Light), port pengecas USB, sistem kunci Keyless, tangki bahan api 14.5 liter, dan skrin penghadang angin boleh laras. Jika benar Kymco AK550 ST ini akan dilancarkan nanti, ianya bakal memberikan saingan kepada model Yamaha TMAX 560 Tech Max yang dilancarkan pada tahun lepas.