Ada perkembangan menarik mengenai dunia motosikal tanah air. Menurut laporan akhbar Berita Harian bertarikh 17hb. September 2023, AFAZ kini rasmi menjadi jenama pengeluar motosikal nasional kedua selepas Modenas. Namun begitu dari mana datangnya AFAZ, dan model motosikal apakah yang bakal dilancarkan oleh mereka di pasaran Malaysia kelak?
AFAZ sebenarnya merupakan syarikat tempatan yang direalisasikan melalui KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB), yang menandatangani perjanjian usaha sama teknikal dan pembekalan bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) dari Jepun. Menurut KMSB melalui perjanjian itu, Suzuki bersetuju membekalkan komponen penting untuk membangunkan motosikal AFAZ.
Menurut Berita Harian lagi, perjanjian usaha sama itu telah ditandatangani oleh KMSB yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif KMSB, Ahmad Faez Yahaya, manakala SMC diwakili oleh Presidennya, Toshihiro Suzuki. Majlis tandatangan itu diadakan di Putrajaya pada Jumaat yang lalu, dengan disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak, dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), iaitu Datuk Wira Arham Abdul Rahman. Mengulas lanjut KMSB berkata, perjanjian itu juga selaras dengan pengumuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) oleh Perdana Menteri pada 01hb. September 2023 baru-baru ini.
“NIMP 2030 bakal mendorong Malaysia menjadi pemimpin global dalam pembangunan industri, memperluas jaringan domestik serta memperkuatkan rangkaian nilai global dalam sektor pembuatan. Malaysia berpotensi menjadi kuasa penting dalam menjayakan empat misi luas NIMP 2030 yang disokong oleh empat penggerak utama yang mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Kata Ahmad Faez lagi, AFAZ merupakan sebuah jenama yang diperkenalkan oleh KMSB, yang akan memimpin inovasi dan reka bentuk dalam industri motosikal dengan kepakaran penyelidikan, pembangunan, pemasaran & inovasi (RDCI) tempatan dengan fokus yang jelas terhadap kualiti, prestasi, dan inovasi.
“AFAZ berhasrat menjadi pemain utama dalam pasaran motosikal tempatan dan sekali gus bersaing di peringkat ASEAN dan global. Dengan menggabungkan pengalaman dan kepakaran 20 kakitangan RDCI, AFAZ berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik perhatian peminat motosikal tempatan dan antarabangsa dengan menerapkan unsur estetika kontemporari dan moden dalam reka bentuk mereka.
“Aktiviti ini juga turut membabitkan aktiviti kejuruteraan yang menitikberatkan peraturan terkini antarabangsa UNECE (WP.29),” katanya.
Akhir sekali mengenai persoalan model motosikal apakah yang akan dilancarkan oleh AFAZ nanti, ianya mungkin sebuah model Super Moped yang sebelum ini hanya dikenali sebagai Projek AM-2. Selain itu, AFAZ pastinya akan turut memperkenalkan model-model lain yang berdaya saing, dengan keutamaannya untuk menarik minat pembeli motosikal tempatan.