Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) pada hari ini dengan rasminya melancarkan model sport bike terbaharu yang ditunggu-tunggu, iaitu Modenas Ninja ZX-25R SE 2023. Model tersebut ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik iaitu Metallic Matte Graphenesteel Grey / Ebony dan Lime Green / Ebony (KRT Edition).
Untuk pasaran Malaysia, Modenas Ninja ZX-25R SE 2023 boleh dimiliki dengan harga asas sebanyak RM 33,900.00 sahaja. Jumlah harga yang ditetapkan itu boleh dikatakan berada pada tahap yang berpatutan, bagi sesebuah model yang dipasang secara CKD oleh pihak Modenas di kilang mereka yang terletak di Gurun, Kedah.
Dengan pelancaran Modenas Ninja ZX-25R SE 2023 ini, ianya secara tidak langsung telah mengimbau kembali kenangan model terdahulu Kawasaki Ninja ZXR 250, yang sebelum ini pernah ditawarkan di pasaran Malaysia. Bezanya Modenas Ninja ZX-25R SE kini tampil dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang lebih moden.
Untuk makluman, serentak dengan pelancaran model tersebut yang berlangsung di Sentul Depot hari ini, EMOS turut mengambil peluang dengan membuat penyerahan bagi 100 unit pertama kepada pelanggan yang membuat tempahan terawal sebelum ini. Jadi mulai esok pasti bergema raungan bunyi daripada ekzos Modenas Ninja ZX-25R di jalan raya.
Imbas kembali, Modenas Ninja ZX-25R SE 2023 ini dikuasakan enjin 250cc empat silinder, dengan prestasi maksimum 46PS @ 15,500rpm dan tork maksimum 22Nm @ 13,000rpm. Enjin berkenaan kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, di samping sistem KQS (Kawasaki Quick Shifter).
Turut melengkapi ialah Power Mode Selection, Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves, fork depan USD 37 mm SFF-BP, suspensi belakang tunggal Horizontal Back-Link (adjustable preload), sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, dan aksesori seperti Pillion Seat Cover, Smoked Windshield, Frame Slider dan Wheel Rim Tape.
Ciri-ciri menarik lain pada model yang bergaya sporty dan agresif itu termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen TFT 4.3 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar, tinggi tempat duduk 785 mm, saiz tayar depan dan belakang masing-masing 110/70-R17 dan 150/60-R17, tangki bahan api 15 liter, dan beratnya hanya 184 kg.
Dengan pelancaran rasmi Modenas Ninja ZX-25R 2023, adalah sangat menarik untuk kita semua melihat prestasi jualannya selepas ini. Ini kerana ianya merupakan sebuah model yang selama ini ditunggu-tunggu ketibaannya, dan negara kita Malaysia boleh dikatakan antara pasaran utama terakhir yang menerimanya di rantau ASEAN.