Selain daripada model Suzuki Burgman 125 2023, sebuah lagi model skuter terbaharu yang dipamerkan di Kuala Lumpur Bike Show 2023 (24 – 27 Ogos) ialah Suzuki Avenis 125 2023. Sama seperti Burgman 125, Avenis 125 juga bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Menurut sumber, pelancaran Suzuki Burgman 125 dan Suzuki Avenis 125 untuk pasaran Malaysia dijadualkan pada tahun ini, atau mungkin pada awal tahun depan. Kedua-duanya merupakan produk CKD (pemasangan tempatan) keluaran Suzuki Malaysia Sdn. Bhd.
Suzuki Avenis 125 merupakan sebuah model skuter bandar yang lincah dan moden. Ianya dikuasakan enjin SEP (Suzuki Eco Performance) bersesaran 124.3cc (4-stroke, 1-cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled) dengan teknologi suntikan bahan api dan transmisi CVT. Kuasa maksimumnya mencapai angka 8.7PS @ 6,750rpm dengan tork 10Nm @ 5,500rpm.
Spesifikasi lengkap pada Avenis 125 termasuklah fork depan teleskopik dengan penyerap hentak belakang tunggal, dan sistem brek cakera di bahagian depan dan dram di belakang. Tangki bahan api berkapasiti 5.2 liter, tayar depan bersaiz 90/90-12 (tubeless) dan belakang bersaiz 90/100-10 (tubeless), tinggi tempat duduk 780 mm, dan beratnya hanya 106 kg.
Pelbagai ciri-ciri menarik yang ditawarkan ialah seperti sistem penghidup Suzuki Easy Start System, Safety Shutter Key, Side Stand Engine Cut-Off Switch, Brake Lock System, ICBS (Integrated Combined Braking System), ruang penyimpanan di bawah tempat duduk seluas 21.8 liter, dan lampu depan dan belakang LED yang mempunyai gaya rekaan tersendiri.
Selain itu ianya turut dilengkapi dua ruang storan di bahagian depan berukuran 1.0 liter dan 1.6 liter dengan soket pengecas USB, dan paparan meter digital LCD dengan pelbagai info. Untuk anda yang berminat, tempahan untuk Suzuki Avenis 125 2023 kini telah dibuka.