CFMOTO 800NK 2023 dilancarkan di Malaysia – RM 38,888.00

Bertempat di Kuala Lumpur Bike Show 2023 baru-baru ini, CFMOTO Malaysia kini dengan rasminya melancarkan model terbaharu CFMOTO 800NK 2023. Tampil dengan dua pilihan warna Nebula White dan Zircon Black, harga asasnya ialah sebanyak RM 38,888.00.

Untuk pasaran Malaysia, model naked tersebut ditawarkan dalam varian teratas Advanced. Berbanding varian Standard yang tidak ditawarkan, ciri-ciri eksklusifnya seperti sistem kunci pintar Keyless, panel multimedia 8.0 inci, handlebar aluminium, dan sistem Quickshifter.

CFMOTO 800NK dikuasakan enjin bersesaran 799cc (liquid-cooled, twin cylinder, DOHC ) dengan transmisi enam kelajuan dan slipper clutch. Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya menjana kuasa maksimum 99.2hp @ 9,500rpm dengan tork puncak 81Nm @ 8,000rpm.

Spesifikasi menarik lain pada model tersebut termasuklah sistem suspensi KYB yang boleh dilaraskan, sistem brek cakera J.Juan dengan ABS Dual Channel, tangki bahan api 15 liter, tayar bersaiz 120/70-17 dan 180/55-17, tinggi tempat duduk 820 mm, dan berat 186 kg.

Melengkapkannya ialah mod tunggangan Sport, Street dan Rain, Cruise Control, steering damper, sistem sambungan untuk navigasi, panggilan dan muzik, sistem kemaskini perisian OTA (Over-The-Air), sistem lampu LED, dan kelajuan maksimumnya sehingga 220 km/j.