Suzuki V-Strom 250SX 2023 bakal dilancarkan di Malaysia pada hujung tahun ini, anggaran harga di bawah RM 20K

Model adventure Suzuki V-Strom 250SX 2023 baru-baru ini rasmi dilancarkan di pasaran Vietnam dan Jepun. Terkini, model tersebut telah pun dipamerkan kepada pengunjung di Kuala Lumpur Bike Show 2023, yang berlangsung dari 24 sehingga 27 Ogos 2023.

Menurut laporan daripada rakan media Paultan.org, Suzuki V-Strom 250SX 2023 ini bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada penghujung tahun ini, dan anggaran harga jualannya dikatakan antara RM 18K – RM 20K (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Dengan pelancarannya nanti, Suzuki V-Strom 250SX bakal menjadi pilihan terbaharu selain model Suzuki V-Strom 800DE 2023. Malah ianya juga bakal menjadi pencabar kepada model terbaharu Modenas Versys-X 250 Tourer 2023 yang akan dilancarkan tahun ini.

Imbas kembali, Suzuki V-Strom 250SX dikuasakan enjin enjin 249cc (oil-cooled, SOHC, 1-cylinder) dengan transmisi enam kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 26.14hp @ 9,300rpm dengan tork 22.2Nm @ 7,300rpm. Tangki bahan apinya berkapasiti 12 liter.

Melengkapkannya ialah fork depan teleskopik, suspensi belakang mono (7-step adjustable preload), sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, port pengecas USB, panel meter digital, lampu depan dan belakang LED, tayar depan 19 inci, dan tayar belakang 17 inci.