Selepas pasaran Vietnam, model adventure Suzuki V-Strom 250SX 2023 kini dilancarkan pula di pasaran Jepun. Model berkenaan masih mengekalkan tiga pilihan warna yang sama iaitu Champion Yellow No.2, Pearl Blaze Orange, dan juga warna Glass Sparkle Black.
Untuk pasaran Jepun, V-Strom 250SX akan ditawarkan secara rasmi bermula dari 24 Ogos 2023. Harga jualannya pula ialah sebanyak 569,800 Yen, bersamaan RM 18,239.67. Model tersebut dilengkapi enjin 249cc (1-cylinder, 4-valve, SOHC) dengan transmisi 6-kelajuan.
Enjin dengan sistem penyejukan minyak itu menawarkan prestasi maksimum pada 26hp @ 9,300rpm, dengan tork puncak 22Nm @ 7,300rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, model dengan berat penuh 164 kg itu seterusnya dibekalkan tangki petrol berkapasiti 12 liter.
Spesifikasi menarik lain pada Suzuki V-Strom 250SX 2023 termasuklah Suzuki Easy Start System, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang bersaiz 100/90-R19 dan 140/70-R17, tinggi pelana 835 mm, dan jarak kelegaan tanah 205 mm.
Selain itu, ianya turut dilengkapi lampu depan dan belakang jenis LED, port pengecas USB, dan panel meter digital dengan pelbagai info. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini dikatakan bahawa model Suzuki V-Strom 250SX ini akan turut dilancarkan oleh Suzuki Malaysia.