Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. pada kelmarin dengan rasminya memperkenalkan Suzuki Raider R150 Fi 2023, yang kini telah menerima dua pilihan skim warna baharu yang lebih menyerlah dan sporty iaitu Bright Ivory / Titan Black dan Matte Bordeaux Red / Metallic Matte Fibroin Grey.
Harga asas yang ditawarkan pula ialah sebanyak RM 8,838.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), meningkat sebanyak RM 665.00 berbanding harga RM 8,173.00 pada model tahun 2022. Beralih ke bahagian spesifikasi, ianya masih kekal sama dan tiada sebarang perubahan.
Suzuki Raider R150 Fi 2023 merupakan sebuah model moped berprestasi tinggi. Ianya dilengkapi enjin 147.3cc (satu silinder, sejukan cecair, DOHC, 4-injap) dengan hamburan maksimum 18.2hp @ 10,000rpm dan tork 13.8Nm @ 8,500rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Spesifikasi lain termasuklah lampu depan LED, panel meter digital, sistem kunci Shutter Key, Suzuki Easy Start System, ruang storan depan, sistem brek cakera, tangki bahan api 4.0 liter, tayar depan dan belakang dalam saiz 70/90-17 dan 80/90-17, dan ketinggian tempat duduk hanya 765 mm.
Di pasaran Malaysia, Suzuki Raider R150 Fi 2023 merupakan model moped terpantas, dan pernah menjadi kontroversi sehingga menarik perhatian pihak berkuasa. Malah terdapat ura-ura yang model tersebut mungkin diharamkan kerana dikatakan menjadi punca peningkatan kadar kemalangan.