Model adventure terbaharu Benelli TRK 702 2023 kini rasmi ditawarkan di pasaran Eropah, dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl White, Forest Green dan Anthracite Grey. Ianya dikuasakan enjin 698cc (In line 2 cylinders, liquid cooled, DOHC) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Enjin bertaraf Euro 5 itu menghasilkan kuasa maksimum 70hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 70Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan api hadir dengan kapasiti 20 liter. Sistem suspensinya merupakan gandingan di antara fork depan jenis terbalik dan monoshock di belakang dengan ciri boleh laras.
Untuk tahap keselamatan maksimum, brek cakera depannya didatangkan jenis berkembar (320 mm with 4 pistons calliper), bersama-sama brek cakera belakang 260 mm (single piston) dan sistem ABS Dual Channel. Di bahagian tayar, ianya bersaiz 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang).
Benelli TRK 702 2023 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 790 mm, jarak kelegaan tanah 175 mm, dan berat 215 kg. Melengkapkannya ialah sistem lampu LED, dan panel instrumen TFT 5.0 inci dengan ciri sambungan ke telefon bimbit untuk paparan panggilan, notifikasi dan navigasi.